Saturday, January 24, 2009

Kerangkaan Semula

Seorang rakan jurulatih NLP diKL, Dr Ian Halsall, berkata kepada saya bahawa salah satu kaedah NLP yang padanya amat berkuasa serta berpengaruh ialah “Kerangkaan atau Merangkakan Semula”. Dalam terminologi NLP ianya dikenali sebagai “Framing” dan “Re-framing”.

Setelah memikir beberapa waktu saya agak bersetuju dengan pendapatnya. Sebagai seorang manusia kehidupan kita sentiasa membuat berbagai kerangka atau ‘frame’ setiap masa. Kerangka ini sentiasa dinamik dan berubah-ubah mengikut apa yang dicetuskan oleh fikiran kita.

Kita didorong kerangka demi kerangka yang bermain didalam minda kita. Kerangka yang dibentuk dan diberi makna kemudiannya memandu perlakuan kita. Ini membuatkan ada pengkaji NLP mengatakan. “manusia itu adalah makhluk yang dipenuhi kerangka”.

Lihatlah pada sekeping gambar. Yang berbingkai dan tidak berbingkai. Bentuk bingkai yang berbeza. Semuanya akan menjadikan gambar itu nampak berbeza.

Satu contoh yang masih segar diminda saya adalah satu kisah yang diperikan oleh Dr. Stephen Covey dalam buku bestsellernya “7 Habits of highly Effective People” dimana seorang bapa seang duduk bermenung jauh dalam sebuah keretapi sedangkan anak-anaknya lari berkeliaran dalam gerabak. Ini mengganggu keselesaan sesetengah penumpang lalu menegur bapa tersebut tentang perangai anak-anaknya. Sibapa yang bermenung muram menjawab, “mereka baru sahaja kehilangan ibunya yang meninggal dihospital akibat sakit”. Serta merta ianya membuatkan penumpang merasa simpati pada kanak-kanak tersebut kerana mereka dapat rasakan apa yang sedang dihadapi oleh keluarga tersebut.

Dapatkah anda bayangkan kerangkaan semula yang berlaku disini. Dari perasaan marah dan gelisah penumpang keretapi ianya bertukar kepada perasaan simpati dan ehsan. Ianya menukarkan sudut pandangan serta merta.

Satu contoh yang mudah lain ialah katakan anda sedang menunggu teman lelaki anda. Sudah lebih dari setengah jam anda tunggu tapi dia masih belum menjelma. Anda rasa geram dan marah. Sewaktu anda membuat keputusan untuk beredar dari situ setelah hampir sejam menunggu dia muncul dalam pakaian koyak rabak dan kesan luka dilutut dan tangannya. Dia beritahu anda dia menemui kemalangan motosikal. Apakah perasaan anda sekarang? Masih marahkah? Atau sudah menjadi kasihankah? “Frame” anda bertukar dalam sekelip mata.

Dimasa-masa hadapan apabila anda sedang menghadapi sesuatu yang sukar cuba alihkan pandangan semula. Cubalah kerangkakan semula apa yang anda sedang hadapi. Dan pastinya anda akan mendapat satu perspektif baru mengenai perkara tersebut.

No comments: